Perutusan Pengerusi PPIS

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Alhamdulillah, setelah melalui pelbagai pengalaman, akhirnya Persatuan Pendakwah Islam Sabah (PPIS) atau ringkasnya PENDAKWAH telah menyelesaikan urusan pendaftarannya di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Cawangan Sabah pada 16 Januari 2013. 

PPIS menjadi salah satu badan NGO di Sabah sebagaimana badan-badan NGO-NGO lain. Meskipun baru, PPIS sebenarnya telah lama terlibat dalam gerak kerja dakwah iaitu sejak tahun 2004 sehingga kini. 

Bukan setakat itu, PPIS bahkan telah bekerjasama dengan beberapa pihak termasuklah JHEAINS, JAKIM, YAYASAN ITHMAM MALAYSIA, USIA serta beberapa individu termasuk wakil-wakil rakyat dengan program di pelusuk-pelusuk kampung pedalaman Sabah.

Selain itu, dalam bidang ‘dakwah maya’, PPIS telahpun mewujudkan asas dan tapaknya seperti radio online, TV online, ceramah online, Bacaan Al-Quran 24 jam di samping laman web, blog dan youtube. 

Meskipun dilihat ringkas atau ala kadar, kenyataannya, semua itu telah dimulakan bahkan nanti, kesemuanya juga akan digabungkan di bawah bumbung PPIS selepas ini yang sekaligus berperanan sebagai penaung agar tapak dan asas-asas ini akan dapat diperkasakan lagi. Inilah antara matlamat penubuhan PPIS.

Sebagai badan bukan kerajaan, PPIS turut melakukan penyelidikan khususnya berkaitan DUNIA DAKWAH di samping muzakarah dengan badan-badan NGO lain sedia ada untuk disampaikan kepada pihak jabatan agama dan kerajaan Sabah bertujuan membantu menangani permasalahan umat Islam khususnya dalam kalangan saudara baru justeru ketidaktelusan laporan daripada mereka yang dipertangungjawabkan, hanya akan mengundang kesilapan cara rawatan terhadap mereka. 

PPIS bukan saja akan menganjurkan program dakwah tapi juga menjadi pengumpul data seperti sejarah kedatangan Islam ke beberapa kampung masyarakat Dusun.

Ia penting agar suatu masa, sejarah yang ditulis dapat menjadi punca rawatan permasalahan seperti pemurtadan dan sebagainya.

Walaupun demikian, tugas dakwah sebagaimana kita maklum, tidak hanya terpikul di bahu JHEAINS, JAKIM, YADIM dan badan-badan NGO bahkan ia terpikul pada setiap bahu umat Islam. 

Adalah wajar umat Islam bergabung tenaga dan meletakkan diri masing-masing sebagai PENDAKWAH kemudian berdakwah mengikut posisi dan kapasiti masing-masing. 

Sesungguhnya, Nabi Muhamad SAW bukan meninggalkan kepada kita longgokan harta, pangkat dan darjat supaya kita bergoyang kaki, tapi Nabi SAW tinggalkan kita petunjuk Al-Quran dan Sunnah untuk kita perjuangkan di muka bumi. Selamanya, kita tidak akan sesat jika kita berpegang pada keduanya. Insya Allah.

Semoga Kelahiran PPIS ini akan mencetuskan kebaikan untuk umat Islam.

PPIS bukan agen mana-mana parti politik atau seumpamanya. Oleh itu, tagline PPIS diletakkan sebagai asas perjuangan iaitu ‘Amar Makruf Nahi Mungkar’.

PPIS menyokong semua agenda DAKWAH yang dibawa oleh JHEAINS, JAKIM, YADIM atau badan-badan NGO Islam serta orang perseorangan.

Akhir sekali, PPIS merakamkan terima kasih kepada pihak yang terlibat memikir dan memproses pendaftaran PPIS. 

Selepas ini, dari masa ke masa, PPIS bersedia menerima apa juga pandangan dan cadangan melibatkan DUNIA DAKWAH kerana PPIS adalah agen dan penyampai. 

Mohd. Nazri Abdullah, Pengerusi PPIS